Ad Code

Renungan Sempena Hari Kemerdekaan: Apa bezanya BN/UMNO daripada penjajah British?

Hari ini adalah Hari Kemerdekaan yang ke-53 bagi Semenanjung Malaysia (digelar sebagai Malaya semasa tahun 1957), namun tanah ini hanya sekadar mencapai kemerdekaan dari tangan penjajah British dari segi kedaulatan pentadbiran. Dari segi budaya dan pendekatan pentadbiran pula, golongan pemerintah masih mewarisi taktik pemerintahan yang digunakan oleh penjajah British, iaitu dasar pecah dan perintah.

Parti pemerintah yang sudah mentadbir tanah ini selama 53 tahun iaitu Barisan Nasional (berkembang dari Parti Perikatan sejak tahun 1973) masih mewarisi pendekatan dasar pentadbiran British yang sengaja memisahkan pergaulan di antara pelbagai kaum di tanah air ini.

Dasar pecah dan perintah penjajah British dilaksanakan menerusi sektor penceburan yang berbeza di mana peluang pekerjaan sektor awam hanya dibuka kepada kaum Melayu, kaum Cina digalakkan berkembang dalam sektor perniagaan dan kaum India pula dihadkan kegiatan mereka sebagai pekerja di kawasan ladang-ladang.

Dasar Pecah dan Perintah Barisan Nasional pula dilaksanakan menerusi perwakilan politik yang membela hak kaum masing-masing di mana hanya UMNO yang dibenarkan mempelopori status kebudayaan, ekonomi dan agama kaum Melayu; MCA dan MIC pula menjadi pembela hak kaum Cina dan kaum India yang berunding dengan UMNO untuk menyelesaikan masalah ketegangan perkauman dan agama yang sengaja ditimbulkan oleh UMNO. Dengan pendekatan ini, di bawah liputan laporan media arus perdana yang dikawal ketat oleh kerajaan BN, ketiga-tiga parti ini dapat bersandiwara sebagai pejuang kaum masing-masing sekaligus meraih sokongan daripada komuniti kaum masing-masing.

Kebaikan pendekatan pecah dan perintah ini adalah, UMNO, MCA dan MIC mempunyai bahan lakonan untuk menyamar sebagai pejuang kaum masing-masing yang tidak akan tertandus. Keburukannya adalah perhubungan sesama komuniti-komuniti dari latar belakang kaum dan agama yang berbeza akan semakin renggang dan tegang. Apabila keadaan mengizin dan menguntungkan parti-parti komponen Barisan Nasional, mereka akan bersaing meredakan keadaan runsing dengan rundingan tutup pintu. Apabila keadaan tidak menguntungkan mereka ataupun permusuhan di antata golongan kaum dan agama yang berbeza boleh menambahkan modal politik mereka masing-masing, pemimpin-pemimpin daripada ketiga-tiga parti ini akan terus membiarkan perbalahan dan persengketaan diapi-apikan.

Dengan memahami cara pengendalian politik Barisan Nasional, maka tidak hairanlah kepada kita kenapa ahli-ahli politik dan mesin-mesin propaganda BN/UMNO sanggup melempar segala bentuk fitnah di luar jangkaan akal biasa manusia ke arah individu dan juga komuniti yang berasal dari keturunan kaum dan agama yang lain walaupun pada Bulan Ramadhan yang menyanjung semangat bertoleransi dan bermaaf-maafan.

Saudara-dan saudari sekalian, cuba kita renungkan apa bezanya UMNO/BN daripada penjajah British yang mempraktikkan taktik pecah dan perintah sepanjang zaman penjajahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu memandangkan untuk terus memonopoli peranan politik sebagai pembela dan pejuang hak kaum bumiputera, pemimpin UMNO sanggup memecah-belah perpaduan dan permuafakatan di kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan berbilang agama supaya UMNO sahaja yang dibenarkan mendekati rakyat kaum bumiputera (pada hakikatnya, mereka hanya mesra dengan rakyat akar umbi semasa musim pilihanraya dan pilihan kecil) ?

Post a Comment

0 Comments